Sunday 18 September 2016

KEJAYAAN TENTERA JEPUN


KEJAYAAN TENTERA JEPUN


  1. Persediaan yang rapi

    Sebelum Jepun melancarkan perang ke atas Tanah Melayu, mereka telah membuat persediaan khususnya mengumpul maklumat penting berhubung dengan kekuatan pertahanan British, angkatan dan kelengkapan peperangan. Menyedari bahawa kubu pertahanan British di Singapura agak sukar untuk dimusnahkan, tentera Jepun telah menyerang Tanah Melayu dari arah belakang, iaitu melalui Kelantan yang tidak mempunyaipertahanan yang lengkap. Ini membolehkan pergerakan tentera menjadi lebih mudah dan dalam jangka masa yang singkat Tanah Melayu telah berjaya dikuasai.
  2. Penguasaan tempat yang strategik

    Jepun juga bertindak dengan menawan padang kapal terbang yang terletak di Kota Bharu, Alor Setar dan Taiping. Penawanan tempat strategik ini menyukarkan dan melemahkan pertahanan udara British. Serangan Jepun ke atas Melayu juga dilancarkan dengan pantas dan tersusun. Jepun telah menggerakkan pasukan tentera udara, laut dan daratnya dari pangkalan mereka di Indochina dan Siam.
  3. Lumpuhnya armada laut British

    Di samping menghancurkan pertahanan udara tentera British, Jepun juga telah berjaya menenggelamkan dua buah kapal perang Inggeris, iaitu Repulse dan Princeof Wales pada 10 Disember 1941 yang sedang belayar di Laut China Selatan berhampiran Kuantan bagi menghalang konvoi Jepun yang sedang menuju ke arah Selatan. Dengan tenggelamnya dua buah kapal perang ini, Tanah Melayu terdedah kepada serangan laut oleh tentera Jepun.
  4. Keberanian tentera Jepun

    Pasukan tentera ke-25 yang diketuai oleh Leftenan Jeneral Yamashita telah datang dengan semangat hidup atau mati bagi tujuan suci mereka. Semua tentera telah diarah menyediakan wasiat mereka. Di samping itu, tentera Jepun juga telah mempunyai pengalaman berperang selama bertahun-tahun di Manchuria dan telah mendapat latihan perang untuk berperang di kawasan Tropika.
  5. Pakatan dengan kerajaan Siam

    Pendaratan Jepun di Singgora merupakan sebahagian daripada rancangan untuk memujuk atau memaksa negeri Thai supaya bekerjasama dengan Jepun. Ini telah menyebabkan suatu Persetiaan Perikatan telah ditandatangani pada 11 Disember 1941. Ini seterusnya telah membolehkan pergerakan tentera Jepun untuk memasuki Tanah Melayu menjadi semakin mudah.
  6. Semangat tentera Berikat

    Pasukan tentera Berikatyang mempertahankan Tanah Melayu terdiridaripada lapan briged askar India, dua briged askar Australia dan dua briged sukarelawan Melayu. Pasukan tentera Berikat ini, khususnya lapan briged tentera India tidak mempunyai pengalaman berperang. Bagi memastikan tentera India yang mempertahankan Tanah Melayu hilang semangat untuk berperang, tentera Jepun telah menyebarkan dakyah bahawa Jepun mempunyai hasrat untuk membebaskan Asia termasuk India daripada cengkaman jajahan kuasa Barat,termasuk India. Ini telah menyebabkan tentera India yang berperang telah berpaling tadah dan memudahkan kemaraan tentera Jepun.


No comments:

Post a Comment